Bagilah hamster nie makan...

Ikan nie lapar..Bagilah makan jugak

Ahad, 21 Jun 2009

PENENTUAN KEJAYAAN BELAJAR SECARA INDIVIDU

. Ahad, 21 Jun 2009

Terdapat banyak strategi belajar untuk membuahkan hasil yang baik. Strategi belajar antara seseorang pelajar dengan yang lain pada asasnya sama tetapi kejayaan setiap strategi yang digunakan tidak semestinya sama. Secara umumnya terdapat dua strategi yang sering digunakan pelajar semasa proses belajar dijalankan iaitu belajar secara berkumpulan iaitu koperatif atau kolaboratif dan belajar secara individu. Dalam hal ini, terdapat di kalangan pelajar yang menggunakan kedua-dua strategi ini dalam suatu masa. Sungguhpun demikian, pada kebiasaannya ruang untuk belajar secara berkumpulan ini sukar diperoleh kerana masalah yang tidak dapat dielakkan umpamanya kedudukan rumah yang berjauhan, sukar mencari rakan yang ingin menyertai kumpulan dan masalah-masalah lain yang tidak dapat dielakkan. Bagi pelajar asrama masalah ini tidak begitu ketara kerana kesempatan tersebut boleh diperolehi dengan mudah.

Lanjutan masalah di atas, pembelajaran secara individu merupakan pilihan utama di kalangan pelajar yang tidak berpeluang melaksana pembelajaran secara koperatif. Strategi ini merupakan peluang bagi pelajar melaksana tanggungjawab secara bersendirian dan mengawal kelancaran pembelajaran masing-masing. Kualiti atau hasilan belajar secara individu amat bergantung rapat kepada bahan atau sumber yang digunakan.

Andaian-andaian yang mempengaruhi pembelajaran secara bersendirian ini:

  • Jumlah masa dan amalan yang digunakan oleh pelajar untuk menguasai sesuatu kemahiran berbeza di antara satu sama lain. Hal ini bergantung kepada kebolehan dan kemahiran asas yang ada pada diri seseorang pelajar. Oleh itu, jika masa yang digunakan untuk menjalankan aktiviti belajar untuk sesuatu mata pelajaran terlalu lama, anda tidak perlu bimbang kerana ada kemungkinan penguasaan asas tentang subjek tersebut masih kurang.Yang penting anda jangan cepat putus asa. Jika anda berfikiran positif, anda akan katakan bahawa bukan semua mata pelajaran anda lemah tetapi hanya beberapa mata pelajaran sahaja yang lemah.

  • Merancang dengan baik bahan yang ingin dipelajari. Sebagai pelajar anda perlu mengikuti unit-unit yang dipelajari dan bijak menentukan masa. Pada peringkat ini, seseorang pelajar perlu menyusun bahan-bahan yang hendak dipelajari dengan baik yakni disusun dengan kemas dan teratur mengikut urutan umpamanya dari mudah ke peringkat susah atau dari konsep asas kepada konsep yang kompleks. Hal ini penting terutama untuk menyiapkan nota-nota ringkas atau proses membuat latihan tertentu.

  • Sumber atau bahan yang tidak mencukupi akan mengurangkan kefahaman atau penguasaan sesuatu konsep atau topik yang dipelajari. Sekiranya bahan-bahan rujukan tidak mencukupi, maka aktiviti yang dijalankan kurang berkesan dan efektif. Antara bahan-bahan yang diperlukan ialah buku teks sebagai rujukan utama, nota ynag disediakan guru, buku rujukan tambahan dan soalan-soalan yangboleh meningkatkan daya kefahaman masing-masing. Bahan atau sumber yang mnecukupi membolehkan seseorang pelajar membuat nota ringkas yang sistematik dan membuat latihan-latihan yang bersesuaian tentang sesuatu tajuk yang dipelajari. Pilih soalan yang seakan-akan sama dengan soalan peperiksaan sebenar. Sebagai panduannya, soalan-soalan latihan tersebut seakan-akan sama dengan soalan tahun-tahun lepas dari perspektif bentuk soalan, kata kunci soalan, gambarajah dan sebagainya. Soalan-soalan masa kini lebih menjurus kepada kemahiran pemikiran kritis, kreatif dan generik.

  • Pembelajaran secara individu ini memerlukan seseorang pelajar menilai diri sendiri dengan cara menilai peningkatan dan pencapaian masing-masing. Menilai diri ini perlu dilakukan dalam berbagai cara sama ada dengan menjawab soalan peperiksaan atau menerangkan kepada rakan jika ada peluang. Walaupun seseorang pelajar boleh menjawab soalan dengan baik tetapi kadang-kadang jawaapannya terpesong daripada skema soalan khususnya dalam situasi peperiksaan. Masalah ini ada kaitan dengan penentuan isi sesuatu esei yang ditulis. Fenomena ini berlaku kerana pelajar tidak menguasai laras soalan, umpamanya perbezaan antara terangkan, jelaskan, bandingkan, huraikan, catatkan, nota ringkas dan sebagainya. Dalam konteks mata pelajaran yang lebih teknikal seperti mata pelajaran Sains, Prinsip Akaun, Geografi dan sebagainya penggunaan istilah dan konsep yang betul di samping laras bahasa mata pelajaran tersebut perlu dikuasai supaya makna ynag diberikan tepat dan memperoleh markah. Kesilapannya ini boleh menyebabkan anda tidak memperoleh sebarang markah walaupun dari segi penggunaan bahasa yang biasanya dianggap betul. Hal ini boleh diselesaikan dengan cara membuat jadual untuk dibuat ulangkaji dengan menyusun unit-unit atau topik-topik selama satu semester. Jika tidak masih banyak tajuk yang belum dibaca walaupun banyak masa yang telah diperuntukkan untuk mata pelajaran tersebut.

  • Seseorang pelajar tidak boleh memulakan unit yang baru selagi tidak menguasai unit yang awal. Meneruskan pembelajaran tanpa menguasai unit sebelumnya boleh menyebabkan anda tidak dapat menjawab soalan peperiksaan. Hal ini disebabkan setiap unit yang dibaca ada kaitan dengan unit yang lain. Perkara ini lebih ketara dalam mata pelajaran Sains, Matematik, Ekonomi, Prinsip Akaun dan sebagainya. Anda perlu sabar dan tekun untuk menguasai setiap unit dan sekiranya terdapat masalah dalam unityang dibaca anda perlu merujuk dengan cepat kepada unit sebelumnya.

  • Setiap pelajar akan lebih bertanggungjawab dalam merancang dan melaksana program pembelajarannya sendiri dan tidak terbatas di dalam kelas sahaja. Anda perlu memprogramkan diri anda di rumah dengan aktiviti membuat ulangkaji yang sistematik dan teratur. Pada umumnya, sebelum mempelajari sesuatu mata pelajaran anda perlu membaca sekurang-kurangnya sekali di rumah dan membuat ulangkaji dengan kadar secepat mungkin selepas membincangkannya dalam kelas, khususnya selepas penerangan guru supaya maklumat tersebut dapat difahami dan dikuasai dengan baik. Selain itu, anda perlumenyediakan jadual waktu harian dan mingguan iaitu Sabtu dan Ahad supaya hari kelepasan tersebut bermakna dari aspek pembelajaran. Cara-cara membuat nota, cara-cara mengingat, teknik menjawab soalan, skema sesuatu mata pelajaran perlu dipelajari sama ada daripada guru atau buku rujukan yang berkualiti.

Rancanglah pembelajaran mengikut kebolehan masing-masing dalam sesuatu mata pelajaran yang ingin dikuasai dan menentukan keutamaan sesuatu mata pelajaran sebagai sasaran utama sebagai tujuan kerjaya pada masa akan datang.

0 comments:

Catat Ulasan

Map